CyberSecurity, Maybank jalin kerjasama
1 Disember 2007 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 30 Nov. - CyberSecurity Malaysia hari ini mengumumkan pakatan strategik dengan Malayan Banking Bhd. (Maybank) untuk memulakan program keselamatan perbankan Internet.

Program itu bertujuan mendidik dan mempromosikan keselamatan perbankan Internet di kalangan pengguna di Malaysia, demikian menurut pertubuhan bukan keuntungan itu dalam satu kenyataan.

CyberSecurity Malaysia berkata, program itu akan melibatkan secara bersama memajukan pendidikan dan promosi keselamatan perbankan Internet, mengendalikan program kesedaran dan menyedikan pengedaran dan saluran kesedaran keselamatan perbankan Internet ke pelanggan Maybank dan pengguna perbankan Internet.

''Kerjasama strategik ini sesuai untuk strategi kami membangunkan rumusan inovatif bagi membantu mendidik pengguna perbankan Internet di Malaysia mengenai kepentingan keselamatan perbankan Internet,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri.

CyberSecurity Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dahulunya dikenali sebagai Pusat Keselamtan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser).

Ia dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk menyediakan bantuan keselamatan siber dalam bentuk pendidikan, promosi dan bimbingan kepada semua pengguna Internet di dalam negara.

- Bernama