Siasatan Suruhanjaya Diraja bermula hari ini
14 January 2008 (Utusan Malaysia)
Oleh Noor Azmah Ibrahim dan Nor Zainah Nordin

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung kesahihan klip video memaparkan perbualan telefon seorang peguam yang mengatur pelantikan hakim-hakim akan bermula esok.

Siasatan itu yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari sehingga 25 Januari ini.

Beberapa kejutan dijangka menanti termasuk kehadiran seorang ahli perniagaan, Loh Mui Fah yang dilaporkan akhbar mengaku mendengar perbualan telefon dalam klip video yang didakwa dirakamkan oleh anak lelakinya.

Mui Fah dilaporkan berkata, beliau dan anak lelakinya bersedia memberi keterangan dalam siasatan suruhanjaya diraja tersebut.

Selain Mui Fah dan anak lelakinya, 16 saksi yang disenaraikan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Turut disenaraikan ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ahli perniagaan terkenal Tan Sri Vincent Tan dan peguam, Datuk V. K. Lingam.

Dr. Mahathir dijangka memberi keterangan dalam prosiding siasatan pada Rabu ini, manakala Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyelaras PKR, Sim Tze Tzin akan memberi keterangan pada Selasa depan.

Sebanyak empat saksi dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan seorang saksi dari CyberSecurity Malaysia dijangka hadir untuk memberi keterangan pada hari pertama prosiding siasatan itu.

Majlis Peguam pula akan menghantar pasukan peguam pemerhati seramai lima orang dianggotai oleh bekas Presidennya, Yeo Yang Poh, Robert Lazar, Ranjit Singh, Christopher Leong dan Razlan Hadri.

Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video perbualan telefon berhubung pelantikan hakim-hakim itu ditubuhkan pada 12 Disember tahun lalu dan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Suruhanjaya itu antara lain ditugaskan menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut dalam perbualan itu.

Pada 19 September tahun lalu, Anwar mendedahkan rakaman video yang didakwa dirakam pada 2002 memaparkan perbualan seorang lelaki yang kelihatan seperti Lingam mengenai pelantikan beberapa hakim.

Selain Haidar, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Ia juga dianggotai oleh bekas Peguamcara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah yang juga Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.

Ketua Bahagian Pendakwaan, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Nordin Hassan dan Ketua Unit Jenayah Perdagangan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Azmi Ariffin akan bertanggungjawab menyoal saksi- saksi.

Prosiding siasatan itu yang akan diadakan di sebuah Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di aras tiga kompleks itu terbuka kepada media dan orang ramai.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang dibenarkan masuk dan mengikuti sesi prosiding itu adalah terhad. Prosiding itu juga dijangka berakhir lebih awal iaitu pada 22 Januari ini sekiranya tiada saksi baru dipanggil selain 16 yang disenaraikan sebelum ini.