Pengundian lebih canggih dengan e-undi
6 Mac 2008 (Utusan Malaysia)

Beberapa negara di dunia telah memulakan dan melaksanakan e-undi dan kebanyakannya telah berjaya mengaplikasikan kaedah berkenaan semasa pilihan raya.

Sehubungan itu, proses demokrasi kini telah menikmati suntikan teknologi untuk menjadikan proses pengundian dan pengiraan undi lebih canggih.

Australia

Pada Disember 2000, Australia Capital Territory (ACT) Akta Pilihan raya 1992 telah membuat pindaan membenarkan e-undi dilakukan buat kali pertama bagi Parlimen Australia semasa pilihan raya pada Oktober 2001 dan telah digunakan sekali lagi pada pilihan raya Oktober 2004. Sistem berkenaan menggunakan komputer peribadi biasa sebagai terminal mengundi dan pengundi menggunakan kod bar bagi mengesahkan undian mereka. Semua undian tidak disambungkan kepada rangkaian awam seperti Internet.

Austria

Austria meluluskan aplikasi e-kerajaan pada Mei 2003 yang mana e-undi tersenarai sebagai salah satu langkah berkenaan. Pada musim bunga 2004, Austria telah menjalankan kajian mengenai pelbagai aspek mengenai e-undi. Sistem undian berdasarkan kepada kad pengenalan elektronik Austria di mana pengundi perlu memohon token e-undi beberapa hari sebelum pilihan raya. Semasa pilihan raya, pengundi hanya perlu membawa kad token berkenaan.

Belgium

E-undi telah bermula sejak 1995 dengan 20 peratus rakyatnya mula menggunakan kaedah ini. Bilangannya semakin bertambah pada tahun 1999 tetapi e-undi banyak menimbul masalah tidak puas hati di kalangan ahli Parlimen menyebabkan tidak sampai 50 peratus rakyat menggunakan e-undi.

Brazil

Pada penghujung 1994, spesifikasi sistem e-undi telah disediakan dan pada 1996 pengundi boleh membuang undi menggunakan mesin undian DRE. Pada 1996, satu pertiga pengundi menggunakan DRE, bilangannya bertambah kepada dua pertiga pada 1998 dan pada tahun 2000, semua pengundi menggunakan DRE. Semasa pilihan raya tahun 2000 dan 2002, 400,000 mesin undian digunakan di seluruh Brazil dan keputusannya terus diperoleh beberapa minit selepas pusat undian ditutup. Data dihantar menggunakan disket atau telefon satelit ke pusat kiraan undi dan diumumkan dalam masa yang singkat.

India

E-undi mula diperkenalkan di India pada 1982 dan telah diuji di salah sebuah daerah di Kerala tetapi keputusannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan melanggar undang-undang. Bagaimanapun e-undi digunakan semula pada 2003 menggunakan EVM dan kini lebih 700,000 pusat pengundian dilengkapi dengan EVM.

Amerika Syarikat

Rakyat AS telah mula menggunakan e-undi bagi memilih Presiden sejak 2004 tetapi apabila terdapat laporan mengenai gangguan pada terminal mesin undian, ramai yang mempersoalkan mengenai keselamatannya. Pada 2004, AS membangunkan sistem Secure Electronic Registration and Voting Experiment (SERVE) yang membenarkan pengundi sah mendaftar untuk mengundi di daerah masing-masing. Atau mereka juga boleh mengundi secara elektronik menggunakan Internet daripada mana-mana tempat di dunia.