Shabery Cheek mahu jumpa penulis blog
22 Mac 2008 (Berita Harian)
Oleh Abdul Halim Yusoff

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog dalam tempoh terdekat bagi mendengar pandangan dan persepsi mereka mengenai pelbagai isu semasa.

Beliau berkata, penulis blog penting kerana mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara, justeru, pendapat mereka tidak boleh diketepikan.

Katanya, penulis blog turut memainkan peranan membentuk sikap pengundi kelas pertengahan terutama di kawasan bandar pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Pada pertemuan itu, saya hanya mahu bertemu dan mendengar pandangan mereka dengan hati terbuka. Jadi, tidak timbul soal kita hendak mengawal mereka, yang penting kami dapat menghampiri mereka," katanya pada sidang media di Kementerian Penerangan di sini, semalam selepas menghabiskan hari pertama melawat dan mendengar taklimat daripada pegawai kementerian itu. Hadir sama adalah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, beliau memandang berat peranan media alternatif seperti internet dan blog dalam pembangunan negara kerana mereka adalah saluran untuk rakyat menyampaikan pandangan secara terus kepada kerajaan.

"Walaupun ada kalanya saluran penyampaian itu boleh menimbulkan perkara negatif, saya percaya banyak perkara positif yang saya boleh ambil daripada penulis blog," katanya tetapi mengakui belum menetapkan siapa dan bagaimana jemputan hendak dibuat.