Elak 'tergadai' di Internet
6 Jun 2008 (Kosmo)
oleh Asron Mustapha dan Noraini Mohamed Ali

KUALA LUMPUR - Pengguna internet perlu berwaspada mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh penjenayah siber.

Butir-butir peribadi seperti yang dipaparkan dalam laman sembang internet contohnya boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu dengan cara menggodam akaun bank dan sebagainya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, kealpaan itu perlu dihentikan, apatah lagi kesedaran masyarakat dalam menjaga maklumat peribadi masih rendah.

"Antara contoh penipuan ialah laman web yang mengatakan anda menang dalam satu pertandingan dan memerlukan anda memasukkan semua butiran peribadi untuk menuntut hadiah.

"Tidak kurang juga kes gadis menjadi mangsa apabila gambar mereka yang dimuat turun di internet disalahgunakan dan terpapar sebagai gambar lucah," katanya sempena Promosi dan Kesedaran Keselamatan Siber yang dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia, di sini semalam.

Menurutnya, CyberSecurity hanya berkuasa untuk menutup laman web lucah atau mencegah penggodam tetapi ia tidak membawa sebarang erti jika masyarakat tidak menjaga keselamatan sendiri.