CyberSecurity Raih Anugerah Kecemerlangan Jenama BrandLaureate
16 Januari 2009 (Bernama)

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia meraih Anugerah BrandLaureate Bagi PKS 2008 untuk kecemerlangan jenama di bawah kategori penjenamaan korporat teknologi maklumat dan komunikasi.

Pencapaian ini menandakan satu lagi kejayaan CyberSecurity, yang di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dalam mencapai sasarannya untuk menjadi pusat pakar keselamatan siber negara, demikian menurut agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Lt-Kol Husin Jazri berkata usaha telah dijalankan bagi mewujudkan dan menempatkan agensi sebagai jenama terkenal dalam industri ICT bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Dalam masa dua hingga tiga tahun ini, kami bangga dengan apa yang dicapai oleh CyberSecurity Malaysia. Bagi keselamatan internet, kami berhasrat mewujudkan sebanyak mungkin kesedaran dan memupuk budaya keselamatan siber," katanya.

-- BERNAMA