Penggodam pakar luar negara
4 Februari 2009 (Harian Metro)

KUALA LUMPUR: Undang-undang khas merujuk kepada e-mel spam memang tiada, tetapi negara mempunyai Akta Jenayah Komputer 1997 yang turut menyatakan hukuman tegas kepada pesalah yang mencuri data secara tidak sah atau melalui spam.

Peguam dari Tetuan Kamal Hisham & Associate, Lt Kol (B) Syed Ismail Syed Omar, yang berpengalaman dalam undang-undang siber, berkata mengikut Seksyen 3 dan Seksyen 4 akta terbabit ada menyebut mengenai hukuman ke atas pesalah siber.

"Seksyen 3 akta ini menjelaskan mana-mana pihak yang didapati bersalah kerana mencuri data (tanpa kuasa) sama ada secara spam mahupun melalui penggodam boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala, bagi Seksyen 4 pula menyatakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau keduaduanya sekali ke atas mereka yang didapati bersalah menggunakan capaian tanpa kuasa (spam ataupenggodam) dengan niat menipu orang ramai," katanya ketika dihubungi semalam.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang berdepan masalah komputer digodam atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab perlu melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut termasuk mendakwa mereka ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, katanya, masalah timbul apabila kebanyakan penceroboh 'alam maya' terdiri daripada pakar luar negara sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan berbanding jika ia dilakukan warga tempatan.

"Sebab itu orang ramai yang menggunakan Internet perlu berhati-hati jangan sampai terpedaya dengan e-mel spam ini kerana penyebarnya memang bijak menarik minat orang ramai membuka e-mel berkenaan. Bila sekali sudah buka, dikira mereka berjaya mengodam komputer anda.

"Memang kita tidak perasan, tetapi benda ini berlaku dengan mudah apabila kita buka e-mel yang tidak sepatutnya dan dari situ penyebar spam akan masuk kemudian melepaskan 'virus' yang boleh menarik semua data dan maklumat peribadi kita.

"Kita kena hati-hati dan jangan mudah tertarik pada e-mel yang mencurigakan selain sentiasa menggunakan antivirus terbaru pada komputer bagi tujuan pencegahan meskipun antivirus tidak boleh menghapuskan spam sepenuhnya," katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan pengguna perkhidmatan Internet termasuk bagi tujuan perbankan perlu lebih berhati-hati berikutan peningkatan mendadak kes e-mel spam kepada lebih 100 peratus tahun lalu, iaitu 80,526 kes berbanding 38,601 pada 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata e-mel spam atau e-mel sampah adalah antara pelbagai alat digunakan oleh penjenayah siber untuk mencuri data dan maklumat melalui penyebaran emel secara rambang kepada pengguna Internet.