Ketagih Internet satu penyakit mental?
2 April 2009 (Utusan Malaysia)
Oleh Redy Jeffry Mohamad Ramli

Setiap kali musim persekolahan, ibu bapa paling sibuk menyusun dan mengatur pelbagai aktiviti untuk anak-anak bagi memastikan masa cuti terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Balik kampung, melancong, berkelah dan melawat tempat-tempat menarik adalah antara aktiviti-aktiviti popular pada musim cuti sekolah.

Bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan untuk membawa anak-anak mereka ke mana-mana, anak-anak yang berada di rumah dipastikan melakukan sesuatu yang berfaedah.

Salah satu aktiviti di rumah pada musim cuti sekolah yang popular dan menjadi aliran anak-anak masa kini ialah permainan komputer dan melayari Internet.

Baru-baru ini dalam satu tazkirah sebelum solat Jumaat di sebuah masjid di ibu kota yang dihadiri oleh penulis, khatib mengingatkan jemaah agar mengawasi anak-anak agar tidak terlalu leka dengan permainan komputer dan Internet.

Peringatan sebegini bukan kali pertama dilontarkan oleh banyak pihak.

Peringatan ini menggambarkan bahawa penggunaan internet yang keterlaluan adalah satu masalah yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama ibu bapa.

Kebimbangan mengenai penggunaan Internet secara keterlaluan sehingga mencapai tahap ketagihan bukan masalah terpencil, malah pengkaji psikologi di Barat menganggap ia adalah masalah sejagat yang harus di ambil perhatian.

Pada Mac tahun lalu, pakar psikiatri Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, di Portland, Amerika Syarikat, Dr. Jerald Block, dalam tulisan editorialnya untuk American Journal of Psychiatry berkata, masalah penggunaan Internet kini sudah menjadi serius di seluruh dunia dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan dianggap sebagai salah satu penyakit mental.

Menurut Dr. Jerald, beberapa kajian yang telah dibuat di beberapa negara mendapati masalah ketagihan Internet di negara berkenaan sudah mencapai tahap yang sebegitu serius sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk mengatasi dan membendung masalah tersebut.

Di Korea Selatan misalnya, dalam satu kajian mengenai ketagihan Internet, kerajaan negara tersebut telah menganggap masalah ketagihan Internet sebagai isu kesihatan awam yang paling serius selepas berlakunya beberapa siri kematian di kafe Internet dan pembunuhan membabitkan permainan komputer.

Berdasarkan data yang diperoleh pada 2006, Korea Selatan menganggarkan kira-kira 210,000 kanak-kanak di negara tersebut yang berumur di antara enam dan 19 tahun menghadapi masalah ketagihan Internet dengan 80 peratus daripadanya memerlukan rawatan psikotropik dan 20 hingga 24 peratus lagi perlu dimasukkan ke hospital.

Bagi menangani masalah ketagihan Internet ini, kerajaan Korea Selatan pada Jun 2007 telah melatih 1,043 kaunselor bagi merawat ketagihan Internet dan menyenaraikan kira-kira 190 hospital dan pusat rawatan untuk tujuan ini.

China alami masalah yang sama

Pada 2007, Kerajaan China telah mengehadkan permainan komputer setelah mendapati kira-kira 10 juta kanak-kanak di negara tersebut didiagnosis mengalami ketagihan Internet.

Malah sebahagian ibu bapa di China yang berhadapan dengan anak-anak yang ketagihan Internet sanggup menghabiskan kira-kira RM4,680 sebulan untuk merawat anak mereka di klinik yang dikhaskan oleh kerajaan untuk merawat ketagihan Internet.

Persoalannya, apakah pengguna Internet di Malaysia terlepas daripada masalah ketagihan Internet?

Mungkin ada pihak yang perlu tampil dengan data terperinci mengenai masalah ini sebelum ia terlambat untuk ditangani kerana punca kepada permasalahan ini sememangnya berada di depan mata kita.

Kafe-kafe Internet boleh dilihat tumbuh bak cendawan selepas hujan dan mungkin ada yang tidak mempunyai lesen yang sah menunjukkan sambutan mengalakkan daripada pengguna remaja.

Malah, penggunaan Internet untuk urusan peribadi dan hiburan pada waktu pejabat dan melayari Internet di rumah tanpa kawalan ibu bapa boleh menjadi penyebab kepada masalah ketagihan Internet di Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan ketagihan Internet? Ketagihan Internet secara dasarnya bermaksud penggunaan komputer yang keterlaluan dan berlebihan baik secara online atau offline.

Jika anda sebagai pengguna Internet mempunyai gejala seperti menggunakan komputer yang berlebihan sehingga meminggirkan hal-hal asas yang lain, merasa marah, tertekan dan murung apabila tidak dapat menggunakan komputer atau Internet dan begitu taksub terhadap penggunaan komputer sehingga ghairah untuk mendapatkan perkakasan dan perisian terkini yang ada di pasaran dan sering bertelingkah, menipu, mengasingkan diri daripada masyarakat dan keletihan, maka anda sebenarnya boleh dikategorikan sebagai ketagihan Internet.

Pengguna tegar

Mungkin ada pengguna Internet tegar yang tidak bersetuju dengan pendapat bahawa dengan memiliki gejala-gejala tersebut mereka sudah boleh dikategorikan sebagai penagih Internet.

Malah sewaktu Dr. Jerald Block mengutarakan pendapatnya mengenai ketagihan Internet sebagai satu masalah mental, sesetengah pengguna Internet tegar di seluruh dunia tidak bersetuju dan menempelak kenyataan tersebut.

Mungkin benar bagi pengguna Internet tegar ini ketagihan internet bukanlah sesuatu yang negati f tetapi sebaliknya bagi golongan kanak-kanak, pelajar, pekerja, suami atau isteri, ketagihan internet boleh memberi kesan negatif terhadap kehidupan mereka.

Jika masalah ketagihan internet di China dan Korea Selatan dijadikan panduan, jelas wujud beberapa persamaan yang boleh menjadi penyumbang kepada masalah ini di kalangan pengguna Internet di Malaysia.

Antaranya, ialah kewujudan kafe-kafe Internet yang beroperasi tanpa lesen dan tidak mengikut peraturan yang menjadi tumpuan para pelajar untuk bermain permainan komputer atau melayari Internet.

Jika tindakan tegas tidak diambil ke atas kafe-kafe Internet sebegini, kecenderungan para pelajar menghabiskan masa bermain permainan komputer dan melayari internet boleh menjadi pemupuk kepada ketagihan internet.

Malah isu pelajar poteng sekolah dan menghabiskan masa di kafe Internet bukanlah sesuatu yang asing di negara ini.

Menghabiskan masa bermain permainan komputer atau melayari Internet untuk bersembang, menghantar e-mel dan melayar laman-laman web rangkaian sosial seperti Friendster, MySpace atau Facebook, perjudian atau pornografi tanpa mengira masa memang memudaratkan apatah lagi bagi pekerja-pekerja dan mereka yang sudah berumah tangga.

Bayangkanlah jika suami atau isteri yang banyak menghabiskan masa Internet untuk bersembang, e-mel dan melayari laman-laman web pornografi atau judi, maka tidak mustahil ketagihan tersebut boleh mencetuskan konflik di dalam rumah tangga.

Malah dewasa ini bukanlah asing bagi kita mendengar keruntuhan institusi kekeluargaan akibat pengabaian tanggungjawab, kecurangan dan keganasan domestik ekoran daripada ketagihan internet.

Ketagihan Internet bukan sahaja memberi impak negatif kepada kehidupan pengguna-pengguna Internet tersebut malah mendedahkan mereka kepada kerentanan terhadap jenayah-jenayah siber seperti serangan virus komputer, kecurian identiti, buli dan peras ugut yang semakin berleluasa.

Suatu gejala

Jika anda mendapati gejala ketagihan Internet ada pada diri anda, lakukanlah sesuatu bagi mengelakkan diri anda daripada terus terjerumus ke dalam masalah yang lebih besar.

Jika anda segan untuk mengakui apatah lagi berjumpa kaunselor untuk mengatasi masalah ketagihan Internet anda, mulalah menggunakan Internet secara positif dan mengikut panduan.

Sebagai ibu bapa, mengehadkan dan mengawasi penggunaan anak-anak menggunakan komputer oleh anak-anak baik untuk permainan atau melayari Internet adalah langkah bijak bagi mengelakkan anak-anak daripada terjerumus di dalam masalah ketagihan Internet.

Bagi mereka yang mahu mengetahui sama ada diri anda tergolong di dalam kategori ketagihan Internet, mungkin anda boleh menguji tahap penggunaan internet anda di laman web http://www.netaddiction.com/resources/internet_addiction_test.htm dan sama ada ia memberi impak terhadap kehidupan anda. Pilihan di tangan anda.