Negara sasar lahir 1,500 pakar keselamatan siber
10 Jun 2009 (Berita Harian)
Oleh Zuraidah Mohamed

KERAJAAN menyasar mewujudkan kira-kira 1,500 profesional dalam bidang keselamatan siber menjelang 2010 dalam usaha meningkatkan tenaga pakar dalam bidang itu, sekali gus memajukan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata ketika ini seramai 700 tenaga profesional dalam bidang itu diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dan institusi pengajian tinggi tempatan.

Katanya, kementerian juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan dalam melaksanakan inisiatif keselamatan siber bagi memastikan Malaysia mampu terus menangani ancaman siber.

"Kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai kepentingan keselamatan siber berikutan perubahan pantas dalam era teknologi.

"Berdasarkan laporan CyberSecurity Malaysia, kira-kira 300 kes jenayah siber dilaporkan sebulan atau 1,300 kes setahun yang membabitkan penipuan, ancaman pencerobohan internet dan dijangkiti virus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prapelancaran persidangan Hackers Halted Malaysia 2009 di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri; Pengerusi EC Council Asia Pacific, Datuk Dr Yahaya Ibrahim dan Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi.

Pada majlis itu, memorandum persefahaman (MoU) antara EC Council Asia Pacific dan Kolej Yayasan Melaka turut dimeterai bagi kerjasama menganjurkan Hackers Halted Malaysia 2009 yang masuk tahun keempat dianjurkan di Malaysia.

Persidangan selama empat hari yang bermula 10 November ini akan menghimpunkan profesional keselamatan maklumat, pengurus teknologi maklumat (IT) dan peserta dalam industri IT dari seluruh dunia bagi membincangkan pelbagai topik termasuk keselamatan siber dan digital.

Fadillah menambah, kementerian menerusi CyberSecurity Malaysia akan melancarkan Cyber999 bulan depan, iaitu pusat bantuan bagi membantu pengguna internet yang memerlukan bantuan kecemasan dalam ruang siber.

Katanya, Cyber999 akan beroperasi di ibu pejabat CyberSecurity Malaysia di The Mines Resort City, Seri Kembangan dengan dikendalikan kira-kira 30 kakitangan yang bertindak sebagai penyelamat sekiranya berlaku pencerobohan atau gangguan ke atas sistem komputer pengguna.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara yang awal di rantau ini melaksanakan inisiatif itu selain Singapura, Australia dan Hong Kong menerusi pendekatan yang berbeza.