Lebih cepat, mudah, berkesan
15 June 2009 (Utusan Malaysia)

Husin Jazri (dua kanan) menunjukkan cara melayari dengan betul Google-Fu semasa memberi kursus kepada 35 guru sekitar Kota Kinabalu, di Sk.Tanjung Aru 1, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 14 Jun - Dalam dunia teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), masyarakat kini mempunyai banyak pilihan untuk mencari maklumat dengan pantas menerusi laman-laman pencari maklumat seperti Yahoo dan Google.

Kehadiran laman-laman itu telah memudahkan manusia mencari maklumat yang selama ini dilakukan dengan cara meneliti susunan tajuk buku pada rak, sebelum membelek satu persatu isi kandungannya.

Melalui laman-laman itu, pencari maklumat hanya perlu memasukkan perkataan mengenai sesuatu perkara yang ingin dicari.

Amat mudah, pantas dan berkesan. Oleh itu, tidak menghairankan laman-laman pencari maklumat seperti Yahoo dan Google sudah menjadi sebahagian budaya hidup masyarakat hari ini.

Tidak keterlaluan dikatakan, hampir semua manusia yang tahu menggunakan komputer akan memanfaatkan laman pencari maklumat itu untuk pelbagai tujuan.

Bagaimanapun, adakah kita benar-benar memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan di tapak pencari maklumat itu?

Yang pasti ramai daripada kita hanya menggunakan kemudahan pencarian yang paling asas tanpa menggunakan segala perkakas yang disediakan bagi memudahkan pencarian itu.

Menyedari hakikat itu, CyberSecurity Malaysia menganjurkan program Google-Fu bagi menerangkan cara terbaik memaksimumkan kemudahan di laman pencari maklumat khususnya Google.

Di Sabah, agensi kerajaan yang bertindak sebagai pusat penyelarasan kepada semua inisiatif keselamatan siber kebangsaan mensasarkan golongan guru sebagai sasaran pertama untuk didedahkan teknik mencari maklumat dengan lebih berkesan.

Seramai 35 guru dari sekolah sekitar bandar raya ini menyertai program sehari yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1.