33 laman web lucah ditutup, 15 lagi menyusul
9 July 2009 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 8 Julai-Sebanyak 33 laman web lucah atau melanggar undang-undang negara ditutup oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada masa yang sama, 15 lagi laman web berunsur sama sudah dikenal pasti untuk diambil tindakan yang sama.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian memandangkan peningkatan laman web berunsur lucah dan melanggar undang-undang negara.

Menurutnya, jumlah laman web lucah atau melanggar undang-undang yang dikesan tahun ini jauh lebih banyak berbanding hanya 20 laman web yang ditutup tahun lalu.

"Penutupan tersebut bertujuan mengekang lambakan laman web terbabit yang berpusat di luar negara yang mana ia sebelum ini boleh diakses di negara ini.

"Bagi mengatasi gejala ini, kita akan pantau laman web seumpamanya dan terus ambil tindakan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Nilai-nilai Kekeluargaan dan Keselamatan Penggunaan Internet di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Seminar itu disertai 400 peserta yang terdiri daripada ibu bapa, guru dan pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Fadillah menggesa orang ramai yang menjadi mangsa jenayah atau gangguan siber melaporkan kepada Cyber Security untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, pada masa yang sama, aduan itu juga bagi membolehkan mereka mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Jelas beliau, laporan boleh dibuat melalui laman web http://www.esecurity.org.my atau menghubungi talian bebas tol 1300882999.