Malaysia, Maghribi Kini Rakan Usaha Sama Keselamatan Siber
28 JAN 2010 (Bernama)

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pos Telekomunikasi dan Teknologi Baharu Maghribi bagi menjalin hubungan kerjasama.

Dimeterai pada 21 Jan sempena Sidang Keselamatan Siber Serantau di Universiti Al Akhawayn, Ifrane, Maghribi, MoU itu meliputi bidang perlindungan infrastruktur informasi kritikal, pembangunan rangka kerja keselamatan siber, pembangunan keupayaan, latihan dan kesedaran.

Antara inisiatif dan aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi MoU itu ialah projek keselamatan siber yang disokong oleh Bank Pembangunan Islam (IDB), kata CyberSecurity Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis.

CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Pengerusinya Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed pada majlis perjanjian itu manakala Jabatan Pos Maghribi diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Industri, Perdagangan dan Teknologi Baharu, Dr Taieb Debbagh.

"Kedua-dua organisasi dijangka memperoleh manfaat daripada MoU itu.

"Kami berharap peluang ekonomi baharu akan wujud untuk kedua-dua negara. Kami mengharapkan peserta dalam industri ini akan turut memperoleh manfaat daripada inisiatif ini," kata Azumi dalam kenyataan itu.

Katanya ISB menerima baik usaha sama itu.

CyberSecurity Malaysia merupakan pusat kepakaran keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan pada masa ini merupakan Pengerusi OIC-CERT (Pertubuhan Persidangan Islam - Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer).