Malaysia Kendali Bengkel Keselamatan Siber Untuk Negara Anggota OIC

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia kini menganjurkan bengkel keselamatan siber di Rabat, Morocco sehingga 25 Jun ini untuk negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) benua Afrika.

CyberSecurity Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga pusat pakar keselamatan siber nasional, adalah Pengerusi kepada Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer - Pertubuhan Anggota Negara Islam (OIC-CERT).

Ia kini mempunyai 18 anggota yang terdiri dari negara-negara OIC.

Bertemakan 'Penambahbaikan Keupayaan Keselamatan Siber', bengkel siri kedua OIC-CERT itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Industri, Perdagangan dan Teknologi Baru Morocco (MITNT) dan Bank Pembangunan Islam (IDB), demikian menurut Cybersecurity dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Siri Bengkel OIC-CERT ini telah dibentuk dan dirangka khusus bagi menyediakan satu platform untuk para profesional keselamatan siber menjalin hubungan antara satu sama lain, berkongsi pengetahuan serta pengalaman mengenai isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan siber", kata Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed.

Bengkel OIC-CERT bagi Benua Afrika itu dirasmikan oleh Menteri Industri, Perdagangan dan Teknologi Baru Morocco (MITNT) Ahmed Reda Chami dan dihadiri oleh 60 peserta yang mewakili 16 negara-negara OIC daripada benua Afrika.

"Selain perbincangan panel serta latihan mengendalikan insiden siber, bengkel ini juga turut memberi penekanan kepada perbincangan berkumpulan di kalangan para peserta mengenai projek-projek yang berpotensi untuk dilaksanakan bersama demi menangani pelbagai jenis ancaman siber.

"Justeru, projek seumpama ini mampu memupuk jalinan kerjasama serta hubungan baik di antara negara-negara berkenaan", kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

Husin berkata, OIC-CERT menyediakan platform baru bagi negara-negara OIC untuk bertukar pandangan dan kepakaran serta mempromosikan kerjasama melalui kajian serta pembangunan dalam menghadapi ancaman siber secara global.

Siri pertama bengkel OIC-CERT telah diadakan di Kaherah, Mesir pada 8 hingga 9 Jun lalu dan disertai oleh 15 peserta dari Negara-negara OIC di Timur Tengah.

Bengkel terakhir di dalam siri Bengkel OIC-CERT untuk benua Asia akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 25 hingga 29 Oktober 2010 sempena penganjuran Penganugerahan, Persidangan dan Pameran Keselamatan Siber Malaysia 2010.

Maklumat lanjut mengenai bengkel OIC-CERT boleh didapati dengan mengunjungi laman web, http://www.oic-cert.org/index.html.

-- BERNAMA