Program 'CyberSAFE in Schools' dilancarkan TPM
24Sept 2010 (Bernama)

KOTA MARUDU 24 Sept. - Program 'CyberSAFE in Schools' yang berobjektif menerapkan nilai dan etika berinternet secara selamat dan berhemat di kalangan pelajar dilancarkan hari ini. CyberSAFE atau Cyber Security Awareness For Everyone merupakan satu daripada inisiatif di bawah program Innovation@Schools, satu usahasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Kementerian Pelajaran.

Program peringkat kebangsaan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di SMK Tandek dekat sini hari ini merupakan satu lagi langkah kerajaan di dalam mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara dengan fokus kepada bidang pendidikan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, melalui program itu diharapkan dapat meningkatkan tingkah laku serta cara berinternet dengan selamat di kalangan pelajar dan guru. Katanya, dalam usaha kerajaan untuk memperluaskan capaian rakyat kepada ICT serta mempertingkatkan lagi penggunaannya, harus diingat bahawa walaupun ICT merupakan alat yang boleh diguna untuk pelbagai tujuan baik, ia juga mampu mewujudkan persekitaran negatif yang mendedahkan anak-anak kepada aktiviti tidak sihat. - Bernama