Program Etika Berinternet Secara Selamat 'Cybersafe In Schools' Dilancarkan
24 Sept 2010 (Bernama)

KOTA MARUDU, 24 Sept (Bernama)-Program 'CyberSAFE in Schools' yang berobjektif menerapkan nilai dan etika berinternet secara selamat dan berhemat di kalangan pelajar dilancarkan Jumaat. CyberSAFE atau Cyber Security Awareness For Everyone merupakan satu daripada inisiatif di bawah program Innovation@Schools, satu usahasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan Kementerian Pelajaran.

Program peringkat kebangsaan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di SMK Tandek dekat sini hari ini merupakan satu lagi langkah kerajaan di dalam mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara dengan fokus kepada bidang pendidikan. Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata melalui program itu diharapkan dapat meningkatkan tingkah laku serta cara berinternet dengan selamat di kalangan pelajar dan guru. Katanya dalam usaha kerajaan untuk memperluaskan capaian rakyat kepada ICT serta mempertingkatkan lagi penggunaannya, harus diingat  bahawa walaupun ICT merupakan alat yang boleh diguna untuk pelbagai tujuan baik, ia juga mampu mewujudkan persekitaran negatif yang mendedahkan anak-anak kepada aktiviti tidak sihat.

Pada amnya, katanya, negara menghadapi cabaran-cabaran yang besar di ruang siber, antara lain seperti keberkesanan undang-undang siber di luar sempadan negara, pertumbuhan media siber, pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan siber, dan penggodam yang mensasarkan infrastruktur maklumat kritikal negara. Dalam pada itu juga terdapat pasaran yang besar dalam bidang keselamatan siber, di mana pasaran keselamatan rangkaian Malaysia saja dijangka tumbuh sebanyak 19 peratus setahun dan akan mencecah RM856 juta dalam tahun 2015, katanya. "Institute of Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland, telah mengenal pasti Malaysia sebagai negara yang berada di tangga ke-19 dari segi keselamatan siber mengatasi negara-negara maju yang lain seperti US, UK, Korea, India dan China. Malaysia juga turut berada di tempat kedua di Asia Tenggara dan keempat di benua Asia.

"Keadaan ini telah meletakkan Malaysia antara negara yang paling kompetitif di dunia daripada segi keselamatan siber. Adalah jelas bahawa asas yang kita bina dan pencapaian yang kita kecapi dalam bidang keselamatan siber, menyediakan ramuan bagi membangunkan industri keselamatan siber yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya. Sementara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata berdasarkan perangkaan Cybersecurity Malaysia, terdapat peningkatan 92 peratus dalam jumlah insiden yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, iaitu 4,390 kes berbanding 2,289 kes bagi tempoh yang sama tahun ini. Katanya kes-kes ini melibatkan insiden gangguan siber, penipuan, cubaanpencerobohan, kod berbahaya, spam dan gangguan perkhidmatan.

Mengenai program hari ini, Ongkili berkata agensi pelaksana Cybersecurity Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, telah mengadakan projek perintis di 22 sekolah seluruh negara setakat ini, melibatkan seramai 7,753 pelajar dan 562 guru. "Aktiviti-aktiviti program ini termasuklah ceramah kesedaran, kelas 'Google-Fu', aktiviti riadah seperti pencarian harta karun dan juga beberapa siri pertandingan seperti melukis poster, mengarang karangan dan mengisi dialog komik," kata beliau.