Selasa, 01 Februari 2011
Harian Metro

Cybersecurity terajui SID

CYBERSECURITY Malaysia, pusat pakar keselamatan siber negara, akan menerajui sambutan Hari Internet Selamat (SID)bulan depan.

Sambutan rasmi SID di seluruh dunia diadakan pada 8 Februari ini bertemakan 'Ia lebih daripada suatu permainan, ia kehidupan anda'.

Cybersecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata, pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif akan dianjurkan sepanjang bulan depan. Acara kemuncak pada sambutan SID2011 di Malaysia ialah CyberSAFE (Piala Cabaran Pertahanan Diri)yang berlangsung di Universiti Kuala Lumpur (UniKL)dari 9 Februari hingga 10 Februari.

Permainan cabaran dalam talian serta aktiviti lain dijangka menarik penyertaan bukan saja di kalangan penuntut UniKL, malah penuntut dari 14 kolej dan universiti tempatan.

Ketua Pegawai eksekutif Cybersecurity Malaysia Lt Kol (B)Husin Jazri berkata, berdasarkan trend dalam talian semasa, ancaman siber semakin meningkat dan oleh itu kesedaran orang ramai mengenai cara menangani risiko dan isu yang dihadapi semasa melayari Internet, perlu ditingkatkan. Beliau berkata CyberSecurity menawarkan perkhidmatan berkesan, boleh dipercayai serta berkesan untuk para pengguna Internet Malaysia dalam memastikan keselamatan Internet.