Microsoft Malaysia Lancar Kempen Keselamatan Dalam Talian
10 March 2011 (Bernama.Com)

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -Microsoft Malaysia dan CyberSecurity Malaysia melancarkan "Bulan Internet Lebih Selamat", kempen untuk mempromosi perkhidmatan dan teknologi dalam talian secara lebih selamat dan bertanggungjawab.

Bertema "Stop. Think. Connect.", kempen itu menggariskan pentingnya menyedari ancaman dalam talian.
"Di Microsoft, kami yakin terhadap tanggungjawab bersama dalam membantu menjadikan Internet tempat yang lebih selamat untuk pengguna, terutama kanak-kanak, untuk belajar dan berkomunikasi," kata Pengarah Urusan Microsoft Malaysia Ananth Lazarus dalam kenyataan Khamis.

Sepanjang kempen dari 10 Mac hingga 10 April itu, isu-isu membabitkan jenayah siber akan ditangani manakala cadangan dan panduan akan diberikan untuk melindungi pengalaman semasa melayari Internet.
"Kami komited dalam memastikan anak-anak dididik untuk menilai mengenai pentingnya melindungi identiti dan privasi dalam talian, dan memperakui peluang hebat yang dibawa oleh Internet, selain potensi ancaman yang datang bersamanya," katanya.

-BERNAMA