Impak rangkaian sosial keselamatan
17 March 2011 (Utusan Malaysia)
by:Husin Jazri

Rangkaian sosial yang pada awal penggunaannya berfungsi sebagai alat perhubungan,kini berubah menjadi satu platform yang efektif untuk menjana sesuatu revolusi.

KEMUNCULAN perkhidmatan rangkaian sosial dilihat sebagai satu revolusi yang mengubah cara pengguna Internet bersosial dan berinteraksi di ruang siber.

Para pengguna yang terdiri daripada golongan remaja dan dewasa begitu ghairah menggunakan rangkaian sosial tersebut seperti Facebook,Twitter dan pelbagai perkhidmatan lain seumpamanya bagi memenuhi pelbagai tujuan. Trend penggunaan laman sosial media ini semakin meningkat dan seolah-olah tiada petanda bahawa ia akan menurun. Persoalannya,mengapa isu-isu yang berkaitan rangkaian sosial begitu menarik perhatian masyarakat dunia terutama pakar-pakar keselamatan siber?

Mengimbas kembali,pada Jun 2010 yang lalu,Twitter telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej protes golongan pembangkang Iran sewaktu kemelut pilihan raya di negara tersebut. Malahan,Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meminta pengendali Twitter supaya menangguhkan proses menaik taraf perkhidmatannya agar tidak mengganggu penggunaannya oleh warga Iran.

Pada akhir Januari sehingga awal Februari yang lalu,seluruh dunia dikejutkan dengan krisis yang melanda Mesir sehingga membawa kepada keputusan pengunduran Presiden Hosni Mubarak. Gerakan protes rakyat di Mesir mula dicetuskan oleh sekumpulan aktivis muda yang menuntut agar proses pembaharuan politik dilakukan di negara tersebut. Ia merupakan rentetan kepada krisis politik yang telah melanda Tunisia sebelum itu.

Ironiknya,revolusi di Mesir merebak ke negara-negara serantau dan mencetuskan pelbagai gerakan anti-kerajaan seperti di Algeria,Yemen,Bahrain dan Libya. Krisis di Timur Tengah juga menarik perhatian pakar-pakar keselamatan siber dan mereka menganggapnya sebagai satu fenomena. Kajian menunjukkan rangkaian sosial memainkan peranan penting dalam membantu golongan aktivis melancarkan propaganda siber mereka dan mempengaruhi persepsi rakyat untuk menentang kerajaan.

Perkhidmatan seperti Facebook dan Twitter telah digunakan sebagai platform dalam mencetuskan kebangkitan rakyat Mesir dan pengisytiharan tarikh 25 Januari 2011 sebagai hari pelancaran revolusi. Media juga melaporkan bahawa golongan aktivis ini mendapat bantuan dari seorang kakitangan Google warga Mesir bagi membolehkan semua bentuk komunikasi disalurkan secara selamat menerusi sistem pesanan segera (instant messaging system)Google.

Apa yang wajar diberi perhatian adalah mengenai keupayaan rangkaian sosial dan impaknya terhadap sesebuah negara. Rangkaian sosial dijadikan platform oleh rakyat Mesir untuk mereka berinteraksi dan berkomunikasi sesama sendiri,dan melancarkan gerakan revolusi menentang kerajaan.

Kerajaan Mesir mula menyedari perkara ini dan mereka mengambil tindakan terdesak pada 28 Januari 2011 untuk menyekat akses Internet menerusi keempat-empat Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP)utama. Namun,tindakan tersebut agak terlambat dan tidak mampu untuk mengubah persepsi rakyat Mesir yang begitu mendalam terhadap seruan revolusi. Malahan tindakan tersebut telah menimbulkan reaksi negatif oleh gergasi enjin perisian Google.

Tanpa berselindung,pihak Google telah menyatakan sokongannya terhadap rakyat Mesir dan mengadakan kerjasama dengan pengendali Twitter bagi mewujudkan perkhidmatan baru yang dikenali sebagai 'speak2tweet’. Secara khusus,perkhidmatan tersebut membolehkan rakyat Mesir menghebahkan situasi terkini menerusi Twitter dengan menggunakan telefon.

Impak revolusi di Mesir ternyata tidak terhenti di negara tersebut sahaja. Malah ia telah merebak ke Algeria,Yemen,Bahrain,Libya dan Oman. Dalam krisis di Libya,kerajaan pimpinan Kolonel Muammar Gaddafi telah melaksanakan sekatan akses terhadap sejumlah laman web dan perkhidmatan Internet seperti Facebook,YouTube dan juga Hotmail.

Tampaknya,krisis di Mesir telah memberi pengajaran kepada Kerajaan Libya. Mereka berpendapat sekatan gerakan protes oleh rakyat Libya boleh dikekang hanya menerusi sekatan terhadap perkhidmatan Internet termasuk rangkaian sosial.

Di sini wujud pelbagai persoalan yang perlu difikirkan oleh pihak-pihak tertentu yang pastinya memantau perkembangan krisis politik di Timur Tengah. Krisis yang melanda di Tunisia,Mesir,Algeria,Yemen,Bahrain,Libya dan Oman bukanlah sekadar kebetulan. Rangkaian sosial terbukti memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi persepsi rakyat,dan ledakan penggunaannya jelas sekali mampu memberi impak kepada suasana sosio-politik sesebuah negara.

Rangkaian sosial yang pada awal penggunaannya berfungsi sebagai alat perhubungan,kini berubah menjadi satu platform yang efektif untuk menjana sesuatu revolusi. Maklumat berbentuk fitnah,tohmahan,desakan,kutukan dan seruan kini semakin ghairah dipaparkan di ruang siber. Fenomena yang dicetuskan oleh rangkaian sosial sudah pasti memberi cabaran kepada negara.

Pendekatan terbaik perlu diambil agar teknologi tersebut boleh digunakan secara seimbang terutamanya oleh pengguna. Mereka seharusnya dididik agar menggunakan rangkaian sosial secara berhemah. Adalah menjadi hasrat semua pihak agar penggunaan teknologi siber sebegini dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat,membantu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.

Kita semua tidak mahu teknologi tersebut digunakan secara tidak terkawal kerana ia bakal mencetuskan suasana yang boleh mengancam keselamatan negara.

Lt. Kol. (B)Husin Jazri

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.