Klinik CyberSecurity dibuka September
Harian Metro (16 Julai 2011)

KUALA LUMPUR 16 Julai : KLINIK CyberSecurity Malaysia yang dijangka dibuka pada September ini disasarkan dapat meningkatkan keselamatan dan kerahsiaan maklumat untuk pengguna komputer serta telefon mudah alih di negara ini.
"Dari segi kategori pula, kesemua sembilan kategori insiden keselamatan siber mencatatkan peningkatan ketara dengan kes penipuan dilaporkan paling tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kolonel (B) Datuk Husin Jazri berkata, penekanan adalah terhadap permintaan semasa orang ramai dan tumpuan untuk meningkatkan keselamatan serta kerahsiaan maklumat berikutan peningkatan risiko keselamatan siber kini.

"Apabila kita memahami cabaran sebenar berhubung perkhidmatan dan sedia untuk mengurus risiko, kita merancang memperluaskan klinik berkenaan di seluruh negara," katanya selepas taklimat mengenai Senario CyberSecurity di Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kajian perintis bagi klinik berkenaan bermula awal tahun ini dan kos permulaan pelaburan bagi klinik itu tidak banyak kerana ia akan beroperasi dari ibu pejabat CyberSecurity Malaysia di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, pihaknya perlu melaksanakan pencarian bakat, pengesahan juruteknik serta menimbangkan pelan peniagaan untuk tempat lain dan masih belum memutuskan mengenai fi bagi perkhidmatan oleh klinik itu.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Nasional Microsoft Malaysia, Dr Dzahar Mansor berkata, risiko sekuriti siber semakin meluas sejak kebelakangan ini terutama melalui rangkaian sosial dan tapak permainan dalam talian.