Lindungi daripada ancaman siber
Utusan Malaysia (27 November 2013)
Oleh Faizah Izzani

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua prasarana maklumat kritikal negara (CNII) perlu dilindungi sepenuhnya daripada ancaman siber bagi menggerakkan Malaysia mencapai status negara membangun berpendapatan tinggi sekali gus berdiri di barisan depan inovasi dan penggunaan digital.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kewujudan ancaman serta serangan siber yang kian menular dan bertambah serius berpotensi menjejaskan hasrat kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah sebuah kerajaan ekonomi digital yang maju.

"CNII merupakan sektor-sektor utama yang perlu diberi perhatian kerana operasi CNII merangkumi penggunaan teknologi digital dan teknologi maklumat dan komunikasi yang kritikal," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) dan pelancaran Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 24 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Muhyiddin berkata, sebarang ancaman, gangguan atau kemusnahan ke atas sistem CNII boleh memberi impak besar kepada negara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melancarkan Arahan MKN 24 yang disokong oleh prosedur, tindak balas dan penyelarasan pengurusan krisis siber negara bagi kesiapsiagaan berhadapan ancaman keselamatan siber.

"Dengan pelaksanaan arahan ini, kerajaan dapat mengetahui situasi keselamatan siber semasa dan tahap kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman dan serangan siber.

"Saya menyarankan semua ketua agensi supaya memahami dan mematuhi sepenuhnya apa yang terkandung dalam arahan ini agar usaha dan strategi yang dirangka dapat dilaksana dengan berkesan," katanya.

Menyentuh mengenai X-MAYA 5, beliau berkata, usaha itu terbukti efektif ketika sistem siber negara diserang oleh penceroboh pada 2011.

"Pasukan yang terlibat dalam latihan itu berjaya mengesan, respons dan berkomunikasi dengan berkesan ketika serangan itu," katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin berkata, sejak insiden serangan 2011, Malaysia sentiasa bersikap berwaspada dengan sebarang kemungkinan ancaman siber.

Katanya, langkah-langkah keselamatan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

"Ancaman siber seperti ini tidak boleh dijangka oleh kerana itu kerajaan berusaha melaksanakan langkah dan sekiranya berlaku, bagaimana kita boleh mencegah keadaan lebih buruk berlaku," katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131127/dn_02/Lindungi-daripada-ancaman-siber