Year 2014



CyberSecurity Gesa Orang Awam Berhati-hati Dengan 'Penggoda Siber'

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia, agensi pakar keselamatan siber kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, telah memberi amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan 'penggoda siber'.

Dalam satu kenyataan di sini Selasa, ketua pegawai eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata terdapat trend meningkat dalam penipuan siber menerusi laman jaringan sosial.

Beliau berkata empat insiden penipuan ugutan siber dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 pada 2012.

"Menjelang pertengahan 2013, pusat bantuan itu melihat trend meningkat dalam penipuan ugutan siber. Pada akhir 2013, angka itu meningkat kepada 73, yang merupakan 18.5 kali lebih banyak," kata beliau.

Amirudin berkata peningkatan itu amat membimbangkan agensi tersebut.

"Kami merujuk isu itu kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Kami percaya terdapat lebih banyak insiden di luar sana yang tidak dilaporkan kepada kami," kata beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia harus lebih berhati-hati dan tidak melayan godaan dalam talian oleh wanita yang hanya mereka kenali dalam media sosial, tanpa mengenali mereka di dunia sebenar.

Amirudin berkata mangsa kebanyakannya adalah remaja lelaki dan lelaki dewasa.

"Pelaku disyaki rakyat asing, besar kemungkinan lelaki bersama dengan rakan wanita mereka yang membangunkan hub penipuan di pelbagai tempat termasuk di Malaysia," kata beliau.

-- BERNAMA

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=1005848