Year 2014



Perak Dipilih Tuan Rumah CSM-ACE 2014
08 September 2014 (peraktoday.com.my)

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan penganjuran The Cyber Security Malaysia, Award, Conference & Exhibition (CSM-ACE) 2014 di Perak pada November depan berupaya mengangkat imej negeri tersebut di mata dunia.

Jelasnya lagi, penganjuran CMS-ACE di Hotel Casuarina@meru yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 November itu juga bakal memberi peluang kepada kerajaan mengaplikasi K-Ekonomi berdasarkan kepada gagasan Perak Amanjaya.

"Program bertaraf antarabangsa ini akan dihadiri oleh individu dan komuniti yang terlibat secara langsung dengan keselamatan siber," katanya.

Tambah Zambry lagi, kerajaan negeri cukup berbangga kerana Perak dipilih sebagai tuan rumah bagi program bertaraf antarabangsa itu yang dianjurkan oleh Cybersecurity Malaysia dengan kerjasama badan keselamatan siber khas di bawah Kementerian Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Program ini melibatkan tiga komponen utama iaitu pameran, persidangan dan penganungerahan kepada individu yang terlibat dalam bidang ini," katanya kepada pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran CSM-ACE 2014 di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengawai Eksekutif KPerak Inc, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, penganjuran program ini juga bakal memberi impak yang besar kepada Perak khususnya terutama sekali dalam bidang ekonomi.

"Ia akan menggerakkan bidang-bidang baru sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi Perak.

"Selain itu, program ini juga dapat mempromosikan Perak di mata dunia serta memberi kesan positif kepada sektor pelancongan tempatan," ulasnya lanjut.