Year 2014



Fahami peranan, cabaran sekuriti siber
22 Oktober 2014 (Media Permata- mediapermata.brunei-online.com)

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Sekuriti siber mempunyai potensi besar bagi pembangunan ekonomi dan juga mempunyai kesan yang besar kepada sekuriti negara.

Maka itu, sektor swasta dan awam perlu memahami peranan sekuriti siber, cabaran yang dibawa olehnya, jurang dan kesannya dari segi politik serta ekonomi, kata Pengerusi OIC-CERT dan Ketua Pengarah Oman National CERT, Badar Ali Said Al-Salehi.

Oleh itu, setiap pihak harus memahami cara untuk mengurangkan cabaran-cabaran yang muncul menerusi inisiatif dasar kerajaan, kerjasama awam-swasta dan juga dari segi perundangan, katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada perasmian Persidangan Tahunan OIC-CERT 2014 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Pengerusi Majlis Sekuriti Kebangsaan, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga ITPSS Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan khas serta kira-kira 200 peserta dari 23 buah negara termasuk 19 buah negara ahli OIC-CERT

Menurut Badar Ali Said, sekuriti siber memainkan peranan penting di dalam semua sektor dan tema persidangan Emerging Risks versus Opportunities, adalah amat bertepatan dalam menangani teknologi terkini dalam sekuriti siber seperti cloud computing dan Big Data.

Tambah beliau, OIC-CERT bagi 2014 menumpukan usaha kepada menangani cabaran dalam pengurusan ancaman siber dan risiko-risikonya serta juga menerokai peluang-peluang ekonomi dalam sekuriti siber.

Di majlis itu, Pengarah Cyber Innovation & Outreach ICPO, INTERPOL, Dr Madan M. Oberoi dalam ucap tema bertajuk INTERPOL’s Role and Effort in Combating Cybercrime, memberikan penerangan mengenai peranan serta cabaran yang dihadapi oleh INTERPOL dalam menangani dan membanteras jenayah siber.

Beliau turut menerangkan mengenai penubuhan INTERPOL Global Complex for Innovation (IGCI) yang pada masa ini sedang dibina di Singapura sebagai salah satu usaha bersepadu global untuk membanteras jenayah siber.

Beliau juga menekankan bahawa adalah menjadi salah satu peranan utama dalam penubuhan IGCI untuk membina perikatan global dalam memerangi dan membasmi jenayah siber yang berasaskan kepada tiga tunggak utama iaitu sokongan operasi kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, pembangunan kapasiti dan penyelarasan perspektif untuk menangani jenayah siber dari segi struktur perundangan, prosedur dan SOP.

Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi kemudian dibawa untuk menyaksikan pameran yang disertai oleh beberapa syarikat teknologi dengan mengetengahkan pelbagai perkembangan terkini dari segi sekuriti siber.

Persidangan tahunan itu merupakan inisiatif berterusan OIC-CERT untuk meningkatkan lagi sekuriti siber dan meningkatkan kesedaran menerusi kerjasama antarabangsa dalam kalangan ahli-ahli dan juga organisasi-organisasi sekuriti maklumat yang lain.

Semasa persidangan itu, pelbagai isu-isu mengenai sekuriti siber akan dibincangkan oleh penceramah undangan termasuk jenayah siber, cloud computing, inisiatif hijau siber dan ancaman mudah alih.

Persidangan Tahunan OIC-CERT dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 pada 2015 akan diadakan di Malaysia pada 6 hingga 10 September di mana ia akan menyaksikan kerjasama dari OIC-CERT dan Respons Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT).